KONSEP AL-‘ADL DALAM KEPIMPINAN
KONSEP KEPIMPINAN DALAM ISLAM
Kepimpinan didefinisikan sebagai keupayaan atau kualiti yang ada pada
seseorang untuk memimpin. Tanggungjawab pemimpin adalah satu amanah dan
bukanlah satu kemegahan untuk dibanggakan. Amanah ialah satu bebanan yang berat
yang kelak akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat. Apabila menyentuh mengenai
konsep kepimpinan dalam Islam, kita seharusnya sedar bahawa kita semua adalah
pemimpin dan akan dipersoalkan di akhirat kelak ke atas apa yang dilakukan
semasa kepemimpinan kita. Bukan itu saja, malahan kita juga akan dipersoalkan
mengenai siapa yang dipilih dan dijadikan panduan sebagai pemimpin.
Allah SWT berfirman yang bermaksud,
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya
menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)… (An-Nisaa' 4:58)
Ayat diatas jelas Allah SWT nyatakan tentang kewajipan memilih pemimpin
yang berhak dalam sesuatu kepimpinan dan bukanlah sewenang-wenangnya mengikut
selera kita. Kita bertanggungjawab ke atas siapa yang kita pilih. Pemimpin yang
baik menjamin masyarakat yang baik kerana pemimpinlah yang akan mencorak gaya
hidup rakyat di dalam sesebuah negara.
Tanggungjawab sebagai rakyat pula ialah mematuhi pemerintah selagi mana
pemerintah berada di atas landasan yang benar dan tidak menyalahi peraturan-peraturan
yang telah ditetapkan oleh syara’. Pemerintah seharusnya ditaati dengan
syarat mereka menyuruh ke arah perkara-perkara yang ma’ruf (kebaikan).
Namun, tidak seharusnya pemerintah itu dipatuhi sekiranya dia menyuruh kepada
hal-hal yang mungkar (kejahatan dan kemaksiatan). Sebagai rakyat, kita
seharusnya memilih pemimpin yang mampu membawa kita ke arah mencapai matlamat
akhirat iaitu mardhatillah dan mestilah mampu membezakan hal-hal yang ma’ruf
dan mungkar untuk dilaksanakan dan ditinggalkan kerana ketaan yang
mutlak hanyalah kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW.
Salah satu di antara ciri-ciri yang patut ada pada seorang pemimpin
ialah bersikap adil dalam segala hal. Sambungan dari ayat Surah An-Nisa’
diatas, Allah SWT menegaskan bahawa,
“…dan apabila kamu menjalankan hukum di
antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah
dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (An-Nisaa' 4:58)
Oleh yang demikian, bersifat adil ini sangat penting dalam memimpin dan
memerintah sesebuah negara kerana tanpa keadilan negara akan menjadi
kucar-kacir dan rakyat tidak mampu mejalani dan menikmati kehidupan yang baik.
Allah SWT juga memberi penegasan bahawa sesungguhnya belaku adil itu
mendekatkan kita dengan ketakwaan kepada-Nya (Al-Maaidah 5:8).
DEFINISI ADIL
Maksud adil merujuk Kamus Dewan edisi keempat ialah menyebelahi pihak yang benar, meletakkan sesuatu
pada tempatnya atau tidak berat sebelah. Adil juga bermakna jujur, adil,
seimbang, sama, sesuai, sederhana dan sederhana. Al-Maraghi mendefinisikan adil
sebagai menyampaikan hak kepada pemiliknya secara efektif, manakala M.Quraish
Shihab pula mendefinisikan adil sebagai pelakuan yang berpihak kepada yang
benar.
Antara
contoh lafaz lain yang Allah SWT gunakan dalam Al-Quran untuk merujuk kepada
adil ialah al-qist (القسط) dan al-mizan
(الميزان). M.Quraish
Shihab menyatakan bahawa sekurang-kurangnya ada empat pengertian adil yang
digunakan oleh ilmuwan Islam iaitu adil yang bermaksud sama, adil yang
bermaksud seimbang, adil terhadap hak-hak individu dan akhirnya adil kepada
Allah SWT (dengan menjaga hak-hak Allah).
Muhammad Abduh pula mengaitkan
ayat ke-58 Surah An-Nisaa’ diatas dengan kekuasaan politik (pemerintahan).
Keadilan pada ayat tersebut juga meliputi sikap dan perlakuan seseorang dalam
menjatuhkan hukuman untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya
menghakimi dengan adil.
Kesimpulannya, adil didefinisikan mengikut
keadaan yang tertentu antaranya meletakkan sesuatu pada tempatnya, saksama
dalam menjatuhkan hukum, mengukur atau menimbang dengan tepat dalam jual beli,
tidak cenderung kepada sesuatu pihak dalam mengadili, melakukan segala suruhan
Allah SWT dan meninggalkan segala laranganya dan lain-lain.
KONSEP ADIL DALAM KEPIMPINAN
Islam menganjurkan supaya manusia mencorakkan cara hidup sama ada dari perspektif
sosio-ekonomi, bermasyarakat ataupun bernegara mengikut konsep tauhid. Konsep
tauhid ini menganjurkan manusia mengarahkan cara hidup kepada konsep keadilan. Allah
SWT menyeru semua manusia supaya berlaku adil dalam semua hal kerana matlamat objektif
syariat itu sendiri ialah untuk merealisasikan konsep keadilan. Keadilan juga
menjadi bukti kemampuan sesebuah kepimpinan kerana tanpa keadilan, masyarakat
dan pemimpin akan hilang nilai-nilai kemanusiaan sesama insan. Maka, tanpa
konsep keadilan dalam kepimpinan, negara tidak mampu melahirkan masyarakat yang
dipanggil insan kamil (ideal mani) yang hidup dengan nilai-nilai
yang murni.
Allah SWT berfirman dalam ayat lainnya yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
taqwa…” (Al-Maaidah 5:8)
Ayat ini menjelaskan bahawa keadilan hendaklah tidak memihak ke arah
mana-mana kaum yang cenderung kita sukai, ataupun faktor-faktor lain yang mempunyai
kencederungan peribadi seperti status sosial, kelas, bangsa, fahaman politik
ataupun agama yang menjadi anutan sesebuah kaum. Pemimpin seharusnya adil dalam
memberi hak-hak tertentu kepada rakyat sebagai contoh hak pendidikan, hak
bersuara, hak kebebasan beragama dan sebagainya. Ini kerana Islam itu sendiri
bersifat adil dan tidak bersifat berat sebelah.
Konsep adil dalam Islam membawa konsep saksama dan bukanlah
kesamarataan. Kesamarataan tidak semestinya menjamin keadilan. Sebagai contoh
mudah, Allah SWT telah menggariskan lapan asnaf zakat iaitu fakir, miskin,
amil, muallaf, hamba (riqab), orang yang berhutang (gharimin), orang
yang berjuang untuk mencari keredaan Allah (fi sabilillah) dan orang
yang bermusafir (ibnu sabil), tetapi zakat tidak diberikan kepada semua
pihak. Jika adil itu membawa maksud sama rata, zakat diberikan kepada semua
pihak walaupun mereka tidak memerlukannya. Inilah yang dimaksudkan dengan
saksama iaitu adil dalam pelaksanaan. Pemimpin semestinya bijaksana dalam
melaksanakan konsep adil supaya keputusan yang dibuat tidak membawa kepada
kemusnahan pada masa depan rakyat dan negara sebaliknya membawa kepada
kestabilan ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara.
KE ARAH MENJADI PEMIMPIN YANG ADIL
Beberapa perkara perlu diberi penekanan oleh seseorang pemimpin ke arah
merealisasikan konsep keadilan dalam pemerintahan antaranya ialah tidak
membezakan atau mendiskriminasikan rakyat dari segi bangsa, agama, strata
sosial dan juga ideologi politik. Semua rakyat harus menerima hak-hak yang sama
secara adil daripada pemerintah. Pemimpin seharusnya memberikan layanan dan
peluang yang saksama kepada semua rakyat tanpa ada perbezaan atau pengelasan
kepada kelompok-kelompok tertentu. Seseorang rakyat tidak boleh dinafikan
haknya sebagai rakyat hanyalah kerana beberapa perbezaan yang dimilikinya.
Berlaku adil juga boleh dilihat melalui pelaksanaan hukuman dengan adil
kepada semua rakyat tanpa pengaruh peribadi ataupun kekeluargaan. Begitu juga
jika dilihat dalam hal pendapatan dan kekayaan negara. Sebagai pemimpin yang
adil seharusnya bersifat adil dalam mengurus perbelanjaan negara dengan cara tidak
membolot harta dan kekayaan negara untuk hal-hal peribadi. Sebaliknya, menggunakan
dan memanfaatkan kekayaan dan pendapatan negara untuk rakyat secara baik dan
efisien. Pemimpin juga memjadi pengurus kepada pendapatan negara supaya berlaku
pengagihan pendapatan dan kekayaan negara secara adil.
Selain itu, pemimpin juga bertanggungjawab mengawal harga barangan
keperluan asas supaya tidak menindas dan menzalimi rakyat. Pemimpin seharusnya
menjaga kebajikan rakyat supaya rakyat tidak terbeban dengan kos barangan
keperluan asas yang diluar kemampuan mereka. Tidak berlaku zalim adalah
perbuatan yang menunjukkan sifat adil. Pemimpin juga boleh membantu rakyat
dengan memberikan bantuan kepada yang berhak. Hal ini dapat membantu rakyat
yang tidak berkemampuan bagi mendapatkan keperluan asas mereka untuk terus
hidup dan khususnya kepada Muslim untuk terus beribadah kepada Allah SWT.
Secara keseluruhannya, berlaku adil adalah manifestasi sifat amanah yang
ada pada diri seseorang manusia dalam menjaga haknya sesama manusia. Konsep
adil juga dapat menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana Allah SWT tidak
suka kepada mereka yang berbuat kezaliman di atas muka bumi ini (Ali-Imran 3:57).
Apabila seseorang itu sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah SWT
supaya berlaku adil kepada semua makhluk, secara tidak langsung dia juga telah
manjaga hubungannya dengan Allah SWT dan makhluk-Nya.
PENUTUP
Maksud sebuah kalam,
“Dunia kekal (maju) bersama dengan keadilan
walaupun negara tersebut negara kafir, namun dunia tidak akan kekal (tidak
maju) bersama kezaliman walaupun negara tersebut negara Islam”
Bagaimana sesebuah negara itu mampu mencapai kemajuan jika pemerintahnya
bersikap mementingkan diri sendiri tanpa menyedari tanggungjawabnya terhadap
rakyat dan negara? Jadi, pelaksanaan konsep adil ini bukan sahaja penting
supaya tidak berlaku pergaduhan di dalam sesebuah negara, bahkan, membantu sesebuah
negara itu mencapai kemakmuran dan kemajuan, kestabilan dari sudut ekonomi,
politik dan sosialnya. Konsep keadilan juga menjamin kehidupan rakyat yang
lebih baik dengan tiadanya mereka yang menindas dan ditindas. Apabila sesebuah
negara itu maju, makmur, stabil dan kehidupan rakyatnya tenang dan aman, maka
akan terbinalah sebuah negara yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran
iaitu negara yang dipanggil Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (negara
yang baik dan mendapat keampunan daripada Allah SWT). Sebuah negara yang bukan
sahaja maju serta makmur dari sudut fizikalnya bahkan dijamin akan menerima
keampunan serta keredaan Allah SWT dan negara seperti inilah yang menjadi
idaman semua umat Islam.
No comments:
Post a Comment