Tugasan
Blog SIW505
Keperluan
Menggunakan Sistem Ekonomi Islam dalam Menghadapi Krisis Ekonomi
Rhodhiyah Bt Johari
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan
Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM0088/12
Malaysia
pada tahun 1997 pernah mengalami kemerosotan ekonomi kesan daripada peningkatan
harga hartanah yang bermula di Thailand. Tidak hanya Malaysia, krisis ekonomi
ini juga menyerang negara-negara lain termasuklah negara maju seperti Amerika
Syarikat iaitu pada tahun 2007. Kebanyakan ahli ekonomi berpendapat bermula
daripada krisis ekonomi di Amerika Syarikat inilah tercetusnya krisis ekonomi
global yang melanda dunia hingga sekarang ini. Pada dua tahun lepas iaitu pada
Mei 2010, Greece pula menjadi mangsa krisis ekonomi apabila berhadapan dengan
hutang luar yang tinggi mencecah € 110.000.000.000.
Krisis ekonomi global
ini berlarutan sehingga hari ini dan membawa kesan kepada isi rumah dan juga
syarikat-syarikat perniagaan. Kesan daripada ini, harga barangan meningkat dan
memberi kesan kepada kuasa beli pengguna menurun. Misalnya, jika sebelum ini
RM1 boleh membeli 20 biji gula-gula, tetapi sekarang ini RM1 hanya mampu membeli
10 biji gula-gula.
Berlakunya perkara
seperti ini adalah disebabkan perlaksanaan sistem ekonomi sekular yang menindas
manusia kerana menggalakkan menusia berbelanja mengikut hawa nafsu tanpa
memikirkan kemampuan. Sistem ekonomi kapitalis adalah salah satu di antara
sistem-sistem ekonomi sekular. England adalah negara tersohor yang menggunakan
sistem ekonomi kapitalis sejak kurun ke-16 lagi dan bermula di England,
kapitalisme tersebar luas hingga ke seluruh Eropah pada kurun ke-19 masihi. Sistem
ekonomi kapitalis ini didefinisikan sebagai sistem ekonomi yang mengagungkan
pengguna. Dalam sistem ekonomi ini pengguna dianggap sebagai raja. Masalah yang
timbul daripada sistem ekonomi ini adalah terlalu mementingkan kepentingan
individu secara mutlak sehinggakan tiada campur tangan daripada kerajaan
(Afzal-Ur-Rahman,1991 dan Mat Hassan Abu Bakar,2003). Selain itu, individu juga boleh mengumpul harta sebanyak
mana yang mereka mahu dan wujudlah sikap memonopoli harta dan mengabaikan
orang-orang yang tidak berkemampuan (Mat Hassan Abu Bakar,2003). Kesannya,
mereka yang kaya menjadi semakin kaya dan mereka yang miskin menjadi semakin
miskin. Di antara ciri-ciri sistem ekonomi kapitalis ialah:
1)Kebebasan
memiliki harta secara persendirian – setiap individu mempunyai hak untuk memiliki
sebanyak mana harta yang mereka inginkan dan mereka juga akan mendapat
faedah-faedah dari harta mereka itu hasil daripada pengeluaran.
2)Mewujudkan
persaingan yang bebas – setiap individu haruslah mempunyai
inisiatif sendiri untuk menyediakan faktor-faktor pengeluarannya sendiri untuk
memperoleh pendapatan hidup. Contohnya, membuka perniagaan.
3)Ketidaksamaan
pengagihan – bagi mereka yang mempunya banyak wang,mereka
boleh memiliki harta dan hidup mewah, namun, jika mereka tidak mempunyai wang
kerajaan tidak akan membantu dan mereka hidup melarat.
4)Laissez
Faire – tiada campur tangan kerajaan dalam sistem
ekonomi.
Walaubagaimanapun, pada
masa ini sistem kapitalis ini sudah banyak diperbaharui supaya lebih
berperikemanusiaan dan membenarkan campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi
mereka (M.Umer Chapra,1997).
Selain Sistem Ekonomi
Kapitalis, Sistem Ekonomi Sosialis juga termasuk dalam sistem ekonomi sekular. Antara
pelopor-pelopor sosialisme ialah Robert Owen, Etienne Cabet, Albert Brisbane
dan Karl Mark. Sistem ekonomi ini adalah berdasarkan kepada prinsip harta
adalah milik negara secara mutlak dan individu tidak mempunyai peluang
mengumpul dan menggunakan harta mengikut kehendak mereka. Maka, tiada konsep
pemilikan harta oleh individu dalam sistem ekonomi sosialis ini
(Afzal-Ur-Rahman,1991). Memang diakui ada kebaikan pada sistem ekonomi ini
seperti kerajaan menyediakan kepada rakyat-rakyatnya keperluan asas contohnya
makanan dan tempat tinggal, setiap rakyat terjamin mendapat pekerjaan dan
mereka yang tidak berupaya untuk bekerja diletakkan dibawah pengawasan
kerajaan, tidak berlaku pembaziran dalam pengeluaran kerana permintaan sama
banyak dengan pengeluaran kerana pengeluaran diselaraskan oleh kerajaan dan
semua bentuk pengeluaran dapat dinikmati oleh masyarakat (Afzal-Ur-Rahman,1991).
Namun sistem ciptaan manusia ini mempunyai keburukan seperti:
1) Individu
tidak boleh mendapatkan hak memiliki harta sendiri.
Rakyat yang rajin dan malas akan mendapat keperluan yang sama.
2) Menolak
usaha individu. Oleh kerana keperluan yang diberikan
sama, individu yang malas akan menjadi bertambah malas, seperti kata pepatah
melayu, orang mengatuk disorongkan bantal. Sebaliknya, orang yang rajin akan
terbantut usahanya kerana sejauh manapun dia rajin, keperluan yang
diperolehinya sama seperti orang lain.
Kesan daripada dua
ciri-ciri ini, sistem ekonomi sosialis telah gagal dalam menyediakan ekonomi
yang efisien untuk mengagihkan sumber-sumber pengeluaran ekonomi negara
tersebut (M.Umer Chapra,1997).
Selain daripada dua
jenis sistem ekonomi yang telah disebutkan diatas, ada juga sesetengah negara
yang mengamalkan konsep negara kebajikan. Negara kebajikan atau welfare state adalah sebagai solusi atas
kegagalan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis dalam memenuhi keperluan
masyarakat dalam sesebuah negara. Konsep negara kebajikan barat ini hanyalah
sekadar memasukkan peranan kerajaan yang lebih besar dalam sistem ekonomi untuk
memastikan kestabilan dan kesaksamaan bertambah (M.Umer Chapra,1997). Banyak
negara yang melaksanakan sistem ekonomi jenis ini.Menurut Schneider (2011), pada negara-negara tersebut terdapat
model-model yang berbeza seperti:
1)
Anglo-Saxon
Model - Ciri-cirinya ialah:
·
Bantuan sosial adalah sebagai jalan
terakhir.
·
Rendah tahap perlindungan kepada guna
kerja dan rendah gaji minimum.
·
Tinggi perbezaan pendapatan.
·
Perbelanjaan lebih banyak kepada pesara.
·
Negara-negara yang menggunakan model ini
ialah United Kingdon, Ireland, Australia dan Amerika Syarikat.
2)
Nordic
Model – Ciri-cirinya ialah:
·
Tinggi tahap keselamatan yang disediakan
kepada pekerja.
·
Cukai pada pendapatan buruh yang tinggi.
·
Perbezaan pendapatan yang rendah.
·
Tahap cukai yang tinggi pada pasaran
buruh.
·
Tahap pendidikan yang tinggi.
·
Negara-negara yang menggunakan model ini
ialah Sweeden, Denmark, Norway, Finland dan Netherland.
3)
Continental
Model – Ciri-cirinya ialah:
·
Memberi faedah dan pencen kepada pesara.
·
Terlalu banyak peraturan.
·
Pasaran buruh yang tidak fleksibel.
·
Market tidak mampu untuk berubah
bersesuaian dengan perubahan keadaan.
·
Antara negara-negara yang menggunakan
model ini ialah Perancis dan Belgium.
4)
Mediterranean
Model – Ciri-cirinya ialah:
·
Kebergantungan kepada perlindungan
pekerjaan (pekerjaan seumur hidup).
·
Menumpukan kepada perbelanjaan pencen
kepada pesara.
·
Negara-negara yang menggunakan model ini
ialah Itali, Sepanyol, Portugal dan Greece.
Di antara
perkara-perkara yang ditekankan oleh negara-negara yang mengamalkan konsep
negara berkebajikan ini ialah pendidikan,
kerja sosial, perumahan, kesihatan, keselamatan sosial dan guna tenaga (F.Todd,1983).
Walaubagaimanapun, menurut M.Umer Chapra (1997) konsep negara kebajikan barat
ini menghadapi krisis. Ini kerana kerajaan perlu menyediakan pelbagai perkara
supaya rakyatnya terpelihara telah menyebabkan kerajaan telah berbelanja lebih
dari pendapatan negara dan memberi kesan kepada defisit. Kerajaan telah membuat
pinjaman luar yang tinggi untuk mengendalikan ekonomi negara. Faktor utama yang
membawa masalah ini ialah apabila kendalian ekonomi ini adalah dalam kerangka
pengoptimuman Preto (Pareto optimality)
dimana tingkat kepuasan individu hanya dapat ditingkatkan apabila tingkat
kepuasan individu yang lain dirugikan. Hal ini menjadikan orang kaya dapat
menikmati lebih kepuasan berbanding orang miskin. Sehingga hari ini, kerajaan
kepada negara yang melaksanakan konsep negara kebajikan tidak dapat mencari
penyelesaian kepada masalah ketidakseimbangan yang telah wujud ini.
Daripada perspektif tasawur
dan epistemologi Islam, sudah tentu sistem-sistem ekonomi buatan manusia yang
hanya berlandaskan akal tanpa panduan wahyu ini membawa kepada pelbagai masalah
dan krisis yang membebankan kerajaan dan rakyat kerana tahap pemikiran manusia
terhad. Manusia tidak mampu memikirkan lebih dari apa yang mereka nampak.
Kerana itulah Allah menurunkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan kepada
setiap keputusan yang akan dibuat. Al-Quran dan As-Sunnah telah menyediakan
tatacara yang lengkap kepada manusia dalam mengurus tadbir ekonomi negara. Sekarang
lihat pula bagaimana Sistem Ekonomi Islam yang berlandaskan wahyu Allah mampu
menangani masalah-masalah ekonomi yang sedang dihadapi. Sistem ekonomi Islam
bukanlah suatu sistem yang baru diwujudkan. Ini kerana sejak zaman Rasulullah
s.a.w. lagi sudah wujud perdagangan malahan telah wujud import dan eksport
dalam perniagaan dengan membawa barang dagangan dari Mekah ke Negeri Syam, dan
membawa barangan dari Negeri Syam ke Mekah. Pada zaman Rasulullah s.a.w.
jugalah wujud ahli-ahli perniagaan yang hebat seperti Abdurrahman Bin Auf dan
Uthman Bin Affan. Sudah tentulah, Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda ini menjalankan
cara perniagaan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Sesungguhnya Islam itu telah datang dengan pakej yang lengkap termasuklah
ekonomi,politik,sosial dan sebagainya.
Sistem ekonomi Islam
menekankan konsep al-falah, iaitu
kejayaan di dunia dan akhirat (Mat Hassan Abu Bakar,2003). Sudah tentu tiada
penindasan dan ketidakadilan terhadap semua pihak. Ini kerana perlaksaan sistem
ekonomi ini berlandaskan perintah-perintah yang diturunkan oleh Allah di dalam
al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t memerintah kita untuk
berlaku adil dalam surah al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman,
hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan
kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Al-Maaidah, 5:8)
Ayat ini tidaklah hanya
ditujukan kepada sesetengah kelompok sahaja, bahkan kepada semua orang-orang
Islam dan beriman supaya berlaku adil dalam apa jua perkara dan kepada sesiapa
sahaja tanpa ada perbezaan layanan. Oleh itu, pengamalan Sistem Ekonomi Islam
ini mampu menghindari sikap dengki dan penipuan. Antara ciri-ciri Ekonomi Islam
yang lainnya ialah:-
1) Allah ialah pemilik – Allah yang memiliki
semua harta yang ada di alam ini dan manusia hanya memegang amanah Allah untuk
memelihara dan menjaga harta-harta ini dengan baik. Firman Allah di dalam Surah
al-Najm yang bermaksud,
“
Dan kepunyaan Allah lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi” (An-Najm,
53:31)
2) Keadilan kepada semua – Kekayaan di
dalam Islam dikira sebagai ujian yang kelak akan ditanya oleh Allah. Orang yang
kaya tidak boleh sombong dan bongkak tanpa memikirkan orang lain yang dalam
keadaan memerlukan bantuan. Maksud hadis Rasulullah s.a.w.,
“
Pada hari kiamat, seorang tidak akan terlepas dari empat pertanyaan tentang
umurnya, untuk apa dipergunakan tentang hartanya dari mana diperolehi dan untuk
apa dibelanjakan. Tentang ilmunya untuk apa ilmu itu digunakan. Tentang tubuh
(tenaga atau kekuatannya) untuk apa sahaja yang digerakkannya.”
Allah
juga berfirman dalam surah Al-Hasyr yang bermaksud,
“Apa
yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri,
bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah,
dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan
yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya
dari kalangan kamu” (Al-Hasyr, 59:7)
3) Tiada penindasan atau khianat terhadap
harta benda orang lain – Dalam Islam, Allah mengharamkan segala bentuk yang
boleh memudhratkan dan menganiayai orang lain seperti riba,mencuri dan
merompak. Ini kerana perkara-perkara ini akan menindas usaha-usaha yang telah
dilakukan oleh orang lain.
4) Tiada pembaziran – Manusia ditegah
mengikut hawa nafsu sehinggakan berlakunya pembaziran.
5) Usaha individu – Kekayaan bukanlah
sesuatu yang tidak dibenarkan dalam Islam. Manusia disuruh untuk berusaha untuk
menikmati kemewahan hidup tanpa melupakan tanggungjawab dan amanah kepada
manusia lain.
Selain ciri-ciri yang
disenaraikan, Islam mengajurkan ummatnya mengagihkan harta kepada mereka-mereka
yang memerlukan melalui sedekah dan mewajibkan zakat.Melalui sedekah dan zakat
orang-orang fakir dan miskin dapat memiliki keperluan asas mereka untuk hidup.
Islam juga memiliki kaedah-kaedah pembahagian harta yang baik seperti hibah,
faraid, dan wasiat.
Allah memberikan
kekayaan kepada yang dia kehendaki. Kekayaan boleh dikategorikan sebagai ujian
dan juga nikmat. Ekonomi di dalam Islam bukanlah hanya mengambil kira faktor berjaya
dan kaya, namun ia juga sebagai wasilah mencapai mardhtillah. Allah menciptakan kaedah zakat dengan hikmah-hikmah
yang tertentu supaya mereka yang kaya tidaklah lupa akan tanggungjawab mereka
kepada yang memerlukan. Selain itu, Islam juga mengharamkan sebarang unsur
penipuan seperti judi, riba, dan monopoli harta. Harta tidak hanya berlegar
dikalangan mereka yang kaya sahaja,namun, orang miskin juga mampu mendapatkan
hak mereka untuk keperluan asas kehidupan.
Kesimpulannya, Islam
adalah agama yang syumul yang merangkumi dan memenuhi segenap aspek dalam
kehidupan manusia. Oleh kerana kedegilan manusia, menyalahi perintah Allah maka
berlakulah krisis-krisis yang tidak ada jalan penyelesaiannya. Islam agama yang
adil dan menekankan keadilan kepada semua masyarakat tanpa ada sebarang
diskriminasi atau penindasan. Keperluan asas dan kebajikan masyarakat tersusun
dan terjaga melalui sistem ekonomi Islam. Tambahan pula, Islam amat menekankan
nilai-nilai murni dalam kendalian sistem ekonomi mengikut kerangka Al-Quran dan
As-Sunnah. Dalam menghadapi krisis-krisis ekonomi yang sedang berlaku, perlu
diketahui tiada jalan yang boleh diambil dalam menyelesaikan masalah yang
dihadapi melainkan dengan kembali kepada Islam.
Rujukan
Afzal-Ur-Rahman
(1991). Doktrin Ekonomi Islam (Jilid
I). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa
dan Pustaka.
Dewan
Ulama Pas Pusat (2010). Pengenalan
Ekonomi Islam. Diakses dari
M.
Umer Chapra (!996). Islam dan Pembangunan
Ekonomi: Satu Strategi untuk
Pembangunan yang Adil dan Stabil.
Petaling Jaya: The International Institute of Islamic Thought.
Mat
Hassan Abu Bakar (2003). Apa itu Ekonomi
Islam. Pahang: PTS Publications &
Distributor Sdn. Bhd.
Robert F.Todd (1983). The Welfare State. Glasgow: Bell &
Bain Ltd.
Volker
Schneider (2011). The Great Recession:
Has Europe Learned the Lessons?
Dibentangkan
di ILO High Level Brainstorming conference, Switzerland.
Diakses
dari http://www.ilo.org/public/english/bureau/inst/download/volker.pdf