Friday, December 13, 2013

KONSEP AL-‘ADL DALAM KEPIMPINAN

KONSEP KEPIMPINAN DALAM ISLAM

Kepimpinan didefinisikan sebagai keupayaan atau kualiti yang ada pada seseorang untuk memimpin. Tanggungjawab pemimpin adalah satu amanah dan bukanlah satu kemegahan untuk dibanggakan. Amanah ialah satu bebanan yang berat yang kelak akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat. Apabila menyentuh mengenai konsep kepimpinan dalam Islam, kita seharusnya sedar bahawa kita semua adalah pemimpin dan akan dipersoalkan di akhirat kelak ke atas apa yang dilakukan semasa kepemimpinan kita. Bukan itu saja, malahan kita juga akan dipersoalkan mengenai siapa yang dipilih dan dijadikan panduan sebagai pemimpin.

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)… (An-Nisaa' 4:58)
  
Ayat diatas jelas Allah SWT nyatakan tentang kewajipan memilih pemimpin yang berhak dalam sesuatu kepimpinan dan bukanlah sewenang-wenangnya mengikut selera kita. Kita bertanggungjawab ke atas siapa yang kita pilih. Pemimpin yang baik menjamin masyarakat yang baik kerana pemimpinlah yang akan mencorak gaya hidup rakyat di dalam sesebuah negara.

Tanggungjawab sebagai rakyat pula ialah mematuhi pemerintah selagi mana pemerintah berada di atas landasan yang benar dan tidak menyalahi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syara’. Pemerintah seharusnya ditaati dengan syarat mereka menyuruh ke arah perkara-perkara yang ma’ruf (kebaikan). Namun, tidak seharusnya pemerintah itu dipatuhi sekiranya dia menyuruh kepada hal-hal yang mungkar (kejahatan dan kemaksiatan). Sebagai rakyat, kita seharusnya memilih pemimpin yang mampu membawa kita ke arah mencapai matlamat akhirat iaitu mardhatillah dan mestilah mampu membezakan hal-hal yang ma’ruf dan mungkar untuk dilaksanakan dan ditinggalkan kerana ketaan yang mutlak hanyalah kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Salah satu di antara ciri-ciri yang patut ada pada seorang pemimpin ialah bersikap adil dalam segala hal. Sambungan dari ayat Surah An-Nisa’ diatas, Allah SWT menegaskan bahawa,

“…dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (An-Nisaa' 4:58)

Oleh yang demikian, bersifat adil ini sangat penting dalam memimpin dan memerintah sesebuah negara kerana tanpa keadilan negara akan menjadi kucar-kacir dan rakyat tidak mampu mejalani dan menikmati kehidupan yang baik. Allah SWT juga memberi penegasan bahawa sesungguhnya belaku adil itu mendekatkan kita dengan ketakwaan kepada-Nya (Al-Maaidah 5:8).

DEFINISI ADIL

Maksud adil merujuk Kamus Dewan edisi keempat ialah menyebelahi pihak yang benar, meletakkan sesuatu pada tempatnya atau tidak berat sebelah. Adil juga bermakna jujur, adil, seimbang, sama, sesuai, sederhana dan sederhana. Al-Maraghi mendefinisikan adil sebagai menyampaikan hak kepada pemiliknya secara efektif, manakala M.Quraish Shihab pula mendefinisikan adil sebagai pelakuan yang berpihak kepada yang benar.

Antara contoh lafaz lain yang Allah SWT gunakan dalam Al-Quran untuk merujuk kepada adil ialah al-qist (القسط) dan al-mizan (الميزان). M.Quraish Shihab menyatakan bahawa sekurang-kurangnya ada empat pengertian adil yang digunakan oleh ilmuwan Islam iaitu adil yang bermaksud sama, adil yang bermaksud seimbang, adil terhadap hak-hak individu dan akhirnya adil kepada Allah SWT (dengan menjaga hak-hak Allah).

Muhammad Abduh pula mengaitkan ayat ke-58 Surah An-Nisaa’ diatas dengan kekuasaan politik (pemerintahan). Keadilan pada ayat tersebut juga meliputi sikap dan perlakuan seseorang dalam menjatuhkan hukuman untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya menghakimi dengan adil.

Kesimpulannya, adil didefinisikan mengikut keadaan yang tertentu antaranya meletakkan sesuatu pada tempatnya, saksama dalam menjatuhkan hukum, mengukur atau menimbang dengan tepat dalam jual beli, tidak cenderung kepada sesuatu pihak dalam mengadili, melakukan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganya dan lain-lain.

KONSEP ADIL DALAM KEPIMPINAN

Islam menganjurkan supaya manusia mencorakkan cara hidup sama ada dari perspektif sosio-ekonomi, bermasyarakat ataupun bernegara mengikut konsep tauhid. Konsep tauhid ini menganjurkan manusia mengarahkan cara hidup kepada konsep keadilan. Allah SWT menyeru semua manusia supaya berlaku adil dalam semua hal kerana matlamat objektif syariat itu sendiri ialah untuk merealisasikan konsep keadilan. Keadilan juga menjadi bukti kemampuan sesebuah kepimpinan kerana tanpa keadilan, masyarakat dan pemimpin akan hilang nilai-nilai kemanusiaan sesama insan. Maka, tanpa konsep keadilan dalam kepimpinan, negara tidak mampu melahirkan masyarakat yang dipanggil insan kamil (ideal mani) yang hidup dengan nilai-nilai yang murni.

Allah SWT berfirman dalam ayat lainnya yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa…” (Al-Maaidah 5:8)

Ayat ini menjelaskan bahawa keadilan hendaklah tidak memihak ke arah mana-mana kaum yang cenderung kita sukai, ataupun faktor-faktor lain yang mempunyai kencederungan peribadi seperti status sosial, kelas, bangsa, fahaman politik ataupun agama yang menjadi anutan sesebuah kaum. Pemimpin seharusnya adil dalam memberi hak-hak tertentu kepada rakyat sebagai contoh hak pendidikan, hak bersuara, hak kebebasan beragama dan sebagainya. Ini kerana Islam itu sendiri bersifat adil dan tidak bersifat berat sebelah.

Konsep adil dalam Islam membawa konsep saksama dan bukanlah kesamarataan. Kesamarataan tidak semestinya menjamin keadilan. Sebagai contoh mudah, Allah SWT telah menggariskan lapan asnaf zakat iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, hamba (riqab), orang yang berhutang (gharimin), orang yang berjuang untuk mencari keredaan Allah (fi sabilillah) dan orang yang bermusafir (ibnu sabil), tetapi zakat tidak diberikan kepada semua pihak. Jika adil itu membawa maksud sama rata, zakat diberikan kepada semua pihak walaupun mereka tidak memerlukannya. Inilah yang dimaksudkan dengan saksama iaitu adil dalam pelaksanaan. Pemimpin semestinya bijaksana dalam melaksanakan konsep adil supaya keputusan yang dibuat tidak membawa kepada kemusnahan pada masa depan rakyat dan negara sebaliknya membawa kepada kestabilan ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara.

KE ARAH MENJADI PEMIMPIN YANG ADIL

Beberapa perkara perlu diberi penekanan oleh seseorang pemimpin ke arah merealisasikan konsep keadilan dalam pemerintahan antaranya ialah tidak membezakan atau mendiskriminasikan rakyat dari segi bangsa, agama, strata sosial dan juga ideologi politik. Semua rakyat harus menerima hak-hak yang sama secara adil daripada pemerintah. Pemimpin seharusnya memberikan layanan dan peluang yang saksama kepada semua rakyat tanpa ada perbezaan atau pengelasan kepada kelompok-kelompok tertentu. Seseorang rakyat tidak boleh dinafikan haknya sebagai rakyat hanyalah kerana beberapa perbezaan yang dimilikinya.

Berlaku adil juga boleh dilihat melalui pelaksanaan hukuman dengan adil kepada semua rakyat tanpa pengaruh peribadi ataupun kekeluargaan. Begitu juga jika dilihat dalam hal pendapatan dan kekayaan negara. Sebagai pemimpin yang adil seharusnya bersifat adil dalam mengurus perbelanjaan negara dengan cara tidak membolot harta dan kekayaan negara untuk hal-hal peribadi. Sebaliknya, menggunakan dan memanfaatkan kekayaan dan pendapatan negara untuk rakyat secara baik dan efisien. Pemimpin juga memjadi pengurus kepada pendapatan negara supaya berlaku pengagihan pendapatan dan kekayaan negara secara adil.

Selain itu, pemimpin juga bertanggungjawab mengawal harga barangan keperluan asas supaya tidak menindas dan menzalimi rakyat. Pemimpin seharusnya menjaga kebajikan rakyat supaya rakyat tidak terbeban dengan kos barangan keperluan asas yang diluar kemampuan mereka. Tidak berlaku zalim adalah perbuatan yang menunjukkan sifat adil. Pemimpin juga boleh membantu rakyat dengan memberikan bantuan kepada yang berhak. Hal ini dapat membantu rakyat yang tidak berkemampuan bagi mendapatkan keperluan asas mereka untuk terus hidup dan khususnya kepada Muslim untuk terus beribadah kepada Allah SWT.

Secara keseluruhannya, berlaku adil adalah manifestasi sifat amanah yang ada pada diri seseorang manusia dalam menjaga haknya sesama manusia. Konsep adil juga dapat menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana Allah SWT tidak suka kepada mereka yang berbuat kezaliman di atas muka bumi ini (Ali-Imran 3:57). Apabila seseorang itu sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah SWT supaya berlaku adil kepada semua makhluk, secara tidak langsung dia juga telah manjaga hubungannya dengan Allah SWT dan makhluk-Nya.

PENUTUP

Maksud sebuah kalam,

“Dunia kekal (maju) bersama dengan keadilan walaupun negara tersebut negara kafir, namun dunia tidak akan kekal (tidak maju) bersama kezaliman walaupun negara tersebut negara Islam”


Bagaimana sesebuah negara itu mampu mencapai kemajuan jika pemerintahnya bersikap mementingkan diri sendiri tanpa menyedari tanggungjawabnya terhadap rakyat dan negara? Jadi, pelaksanaan konsep adil ini bukan sahaja penting supaya tidak berlaku pergaduhan di dalam sesebuah negara, bahkan, membantu sesebuah negara itu mencapai kemakmuran dan kemajuan, kestabilan dari sudut ekonomi, politik dan sosialnya. Konsep keadilan juga menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dengan tiadanya mereka yang menindas dan ditindas. Apabila sesebuah negara itu maju, makmur, stabil dan kehidupan rakyatnya tenang dan aman, maka akan terbinalah sebuah negara yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu negara yang dipanggil Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (negara yang baik dan mendapat keampunan daripada Allah SWT). Sebuah negara yang bukan sahaja maju serta makmur dari sudut fizikalnya bahkan dijamin akan menerima keampunan serta keredaan Allah SWT dan negara seperti inilah yang menjadi idaman semua umat Islam.